Sekolah Menengah
Kebangsaan Datuk Menteri ditubuhkan pada 1 Januari 1969 dan merupakan sekolah
menengah pertama di “Pekan Seramik Ayer Hitam”. Sebelum ini para pelajar
lepasan sekolah rendah di sekitar pekan ini melanjutkan pelajaran ke
sekolah-sekolah menengah yang terdapat di Parit Raja dan bandar Kluang, sekolah
ini memulakan sesi persekolahan dengan menggunakan dua bahasa penghantar iaitu
Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dan dikategorikan sebagai Sekolah Luar
Bandar.
Bangunan asas ketika
memulakan sesi persekolahannya adalah terdiri daripada dua blok sahaja iaitu
Blok Arif dan Blok Bestari dengan bilangan pelajar sebanyak 224 orang pelajar
dan 11 orang guru. Pada tahun 1971 kali pertama sekolah ini mengadakan
peperiksaan SRP dan LCE. Pada tahun 1975 sekolah ini hanya mengadakan satu
aliran iaitu aliran Bahasa Melayu sahaja sebagai bahasa penghantar. Pada tahun
1977 kelas tingkatan empat aliran sastera dimulakan dan pada tahun berikutnya
sekolah mengadakan peperiksaan SPM yang pertama.
Memandangkan jumlah
pelajar yang semakin meningkat, keperluan penambahan bangunan baru dirasakan
dan pada tahun 1979 projek pembinaan Blok Campin dimulakan dan bangunan ini
dapat digunakan pada tahun 1980. pada ketika ini terdapat sebanyak 1473 orang
pelajar dengan 52 orang guru. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah
Rendah Ayer Hitam dan pada 25 Januari 1985 ditukar kepada Sekolah Menengah
Datuk Menteri. Penukaran nama tersebut sebagai mengenang jasa atas sumbangan
Datuk Menteri Besar Johor iaitu Dato’ Jaafar bin Hj. Muhamad yang terkenal
sebagai arkitek dan pengasas Johor moden.
Blok Dinamik dan surau
pula dibina dan digunakan pada tahun 1983. Pada tahun ini Bengkel Kemahiran
Hidup dan dua buah rumah guru telah disiapkan. Sekolah juga memulakan kelas
tingkatan empat aliran sains tulen. Pada tahun 1987, empat bilik darjah di Blok
Elit berjaya disiapkan di bawah Projek Gotong Royong. Pada tahun 1988 sekolah
ini memulakan kelas tingkatan enam. Blok Fatan disiapkan pada tahun 1993.
Sekolah ini mengadakan
sambutan Jubli Perak pada tahun 1996 dengan majlis perasmian sekolah yang
disempurnakan oleh Datuk Sri Mohd Najib bin Tun Abd. Razak sebagai Menteri
Pelajaran. Dewan sekolah “Sri Perdana” disiapkan pada tahun 2001 dan dirasmikan
oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Hj. Abd. Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor.
Setahun selepas itu sebuah blok rumah guru yang mengandungi lapan pintu berjaya disiapkan. Pada tahun 2002 Bilik Sri Mawar, Sri Cempaka dan I-Heksagon telah dibina. Sekolah ini juga terpilih untuk mempelopori Program e-Learning For Life. Dua buah teratak bacaan berjaya didirikan untuk kegunaan pelajar dan pada pertengahan tahun 2006 makmal komputer mula dibina dan siap sepenuhnya pada akhir Disember.
No comments:
Post a Comment